Thursday, August 28

.selfie.

Song played : NONE at this moment.
Place : Level 1, Blok L.

Hai. semacam janggal saja apabila aku mula menaip tanpa bantuan bunyi bunyian. seakan bukan aku yang mengomel kali ini. bukannya apa, bilik kecil tempat aku mengendeng ketika ini tidak membenarkan sesiapa pun bercakap apatah lagi mendengar lagu. maklum saja lah, bila mendengar lagu wajib saja kita menari bergoyang kepala mengikut rentak irama, bukan?  ah. aneh betul bila senyap sunyi begini. yang ketara hanya bunyi kipas gantung yang agak uzur pada pengamatan mata aku. ah biarlah.

Tadi aku menaiki lif untuk ke sini. Ya, aku tahu. Hanya tingkat satu. Maaf, aku tak tahu di mana tangga dan ya aku tak pernah kisah. Aku tak perlukan tangga. jadi kenapa? Hish.

Sebentar tadi, aku lihat refleksi diri aku di cermin lif. aku kaget sekejap. ada yang tak kena. aku berasa kurang senang melihat lembaga yang ada di cermin itu. bukan, ini bukannya cerita hantu. ini perkara benar. Setahu aku, pantulan lembaga tersebut seharusnya berbentuk lebih solid dan ya, ke mana hilangnya si kaki panjang yang dulu? semakin memendek kah atau saiznya yang bertambah menyebabkan ia kelihatan seolah seketul daging besar? jijik aku melihatnya. rasa mahu menangis pun ada. hati langsung tak gembira. mengapa mesti itu adalah aku?

Aku capai merah dan cuba ambil sekeping gambar. aku tekan butang PADAM. aku cuba ambil sekali lagi. dan sekali lagi aku padamkan. ah, aku mengejar masa. aku ambil sekeping lagi sebelum meninggalkan lif, dan aku simpan. jauh di lubuk hati aku, terbit rasa benci kerana kesibukan menyebabkan aku mengabaikan kesihatan tubuh badan. aku nekad, tak mahu melihat aku seperti itu lagi.

Jadi, aku perlukan sepasang kasut lagi. dan apa kata sekejap lagi mari kita pergi membeli?

Monday, August 25

.mencari.

Song played : Matahari by Hafiz.
Place : 19-3, Mont Kiara. 


Matahari tak cukup indah
Pada pagi yang suram ini
Meratapi nasib, kenapa hari ini..

Lama aku tak ke sini. kira-kira setiap kali aku terfikir nak ke mari, ada saja perkara lain mendahului. sekarang sudah menghampiri penghujung Ogos. lebih kurang 4 bulan aku pendamkan cerita hati. langsung tak sedikit aku palitkan di sini. bukan kerna aku lupa, tapi mungkin saja aku tak tahu dari mana mahu bermula. nampak seakan aku mudah saja melayari hari demi hari, bulan ke bulan. hidup aku tak pernah lekang dari jam dan kalendar. mungkin itu lebih merujuk kepada perkara tentang masa dan tarikh. terkadang aku buntu kerna aku langsung tak punya masa untuk sendiri. untuk berdiri. malah untuk menyendiri.


Hari ini, setelah sekian lama aku berasa terpanggil menghadap laman setia aku ini. mungkin atas beberapa perkara yang jadi, bikin aku rasa sesak tak mampu bernafas. pernah kau rasa suatu ketika tak punya sesiapa sedangkan kau dikelilingi dunia. walhal hidup kau dipenuhi jadual dan rutin harian yang kau sendiri suka. tapi masih saja, hati kau tak bahagia. 

Aku kira, aku sudah hilang nikmat hidup. mungkin gara-gara mengejar dunia dan cita-cita, aku jadi alpa pada segala mewah yang ada. kemewahan berkehidupan. kadang-kadang terduduk aku memikirkan apa yang aku hilang sedangkan aku sibuk mengejar apa yang aku mahu. Allah dah tarik satu nikmat hidup dari aku. semua kerana aku lupa bersyukur. aku lupa pada Allah. aku abaikan segala perkara yang buat siapa aku hari ini.

Malam ulangtahun aku yang ke 25, aku berkelahi kecil dengan mak. aku benci dan sakit hati. hati aku penuh amarah. rasa sesak dada menahan kecewa. hanya kerana selama ini semua permintaan aku mak tak pernah kisah. tapi kali ini, tanpa musabab munasabah, mak melarang. seperti biasa, aku tahu apa aku mahu. aku berasa sentiasa di paksi benar. sebab apa saja aku lakukan, aku tak pernah minta ihsan sesiapa. itu kata aku. aku angkat barang-barang dan menuju ke tangga. aku tak toleh lagi. malam ulangtahun, aku tidur bertemankan air mata. tanpa mengetahui apa kenapa dan bagaimana sebenarnya.

tidurku tak lena. segala perkara berlaga. mata berkaca. 

apa sebenarnya yang aku tak punya?