Place : 19-3, Mont Kiara.
Hello. Semacam rajin benar pula aku lewat kebelakangan ni, kan? Oh, aku maksudkan tentang sesi mengemaskini laman putih ini. Ala, sebenarnya aku punya masa. Sengaja aku lengahkan dan mungkin juga sengaja aku pudatkan segala aktiviti rutin kegemaran aku saban hari agar aku lupa pada perkara yang tak ingin aku fikirkan. Bukan aku mengelak, aku hanya tak mahu rasa sakit. Pada aku, rasa sakit yang kau sendiri cari terutamanya tentang sesuatu yang tak pasti, ia adalah perbuatan sia-sia. Tak adil kau lakukan perkara itu terhadap diri kau sendiri. Adil? Ya, adil itu bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Bukankah hati kita berhak rasa apa itu bahagia?
Beberapa hari lepas, cuaca panas terik melampau. Tiada setitis hujan yang turun. Air rumah aku juga berkarat selepas ketiadaan air beberapa ketika. Jadi, sekarang ini aku bersyukur. Hujan turun dengan lebat dan oleh kerana itu lah aku masih di sini. Sendirian. Mereka yang lainnya sudah pulang ke teratak masing-masing. Mereka kerap sahaja punya aktiviti harian selepas waktu kerja. Aku? Ada. Tetapi aku rasakan badan ini semakin meningkat usia, semakin tua. Aku tak mampu berjaga lewat malam lebih lama seperti aku yang dulu. Sebab itu aku sentiasa rindu. Tetapi manakan sama. Tetapi mana mungkin manusia kekal setia begitu. Pasti lambat laun akan berubah. Nah, ombak pantai juga berubah. Apa tah lagi hati hitam manusia. Mudah saja meliuk mengubah hala.
Ketika aku dengar lagu saat ini, aku dapati liriknya seakan menangkap rasa hati aku. Seakan satu rintihan hati jemu. Bait lagu ini disusun indah. Jelas terang maksud kesedihannya. Itu pada aku, pada kau semua, aku tak tahu.
Seawal jam 6 pagi aku bangkit setiap hari. Menunaikan tanggungjawab pada diri dan bersiap untuk ke pejabat setiap hari. Adalah rutin juga pada aku untuk switch on tv ketika bersiap lalu terpaksa saja aku dengar dan layankan apa sahaja siaran ketika itu. Bersiap ala kadar tanpa secalit mekap seperti selalu, aku menutup lampu dan mengunci pintu. Aku bergegas ke tempat kerja yang lebih kurang 20km pemanduan pemilik lesen baru seperti aku.
Seperti kebiasaan, sebelum jam 7.30 pagi aku akan tiba di perkarangan MK. Bersendirian bertemankan lagu-lagu di frekuensi 95.8. Menjadi rutin bagi aku untuk berada di posisi di mana aku saat ini tepat jam 8 pagi, 5 kali seminggu. Punctuality itu yang J suka pada aku, kata dia. Aku bukan pekerja tipikal yang duduk di depan komputer 8 jam sehari menghadap timbunan fail merapu entah apa. Setiap pagi aku berdoa agar J lewat masuk ke pejabat supaya aku tak berlari-lari apabila diteriak nama aku nanti. Kadangkala, belum sempat dia duduk di kerusi boss nya, aku sudah tahu nama aku bakal dijerit. Ke hulur ke hilir, turun ke bawah dan naik semula, dari hujung MK hingga ke Ground Floor MK ini aku dah jelajah. Oh, tapi tidaklah sampai menceroboh pejabat-pejabat swasta milikan persendirian. Kerja aku bukan berjalan fizikalnya sahaja malahan mental juga kerana kadangkala J lupa bahawa aku ini bukan komputer yang menyimpan semua maklumat firma dia. Oh, J!
Kesudahannya, 8 jam aku tak sama dengan mereka yang lain. Aku bekerja lebih masa. Lebih 50 jam seminggu aku seret kedua kaki aku ke sana sini dalam pejabat ini. Aku bukan mengomel kosong sahaja. Buktinya, sekarang jam tepat 6.55 petang dan aku masih di sini. Aku hanya ada peluang melangsaikan rindu aku pada laman ini bila semua orang sudah pulang dan kerja bersisa aku masih bisa disambung esok. Pada waktu dan rutin yang sama.
Persoalannya, kenapa dengan jalan yang aku pilih ini, aku masih rasa bahagia?
Aku rasa, aku sudah tahu apa itu ikhlas kerana Allah SWT.